ciri orang fasik |
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ciri orang fasik adalah seorang muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain orang tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad shallallahu alaihi wasallam tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah subhanahu wa ta'ala dan hukumNya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan.
Firman Allah subhanahu wa ta'ala yang bermaksud :
“Orang fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi” (Surah Al Baqarah ayat 27)
Allah subhanahu wa ta'ala memberi peringatan kepada orang Islam agar jangan sekali-kali bertindak seperti orang yang lupa diri di mana Allah subhanahu wa ta'ala menyifatkan mereka sebagai orang fasik iaitu orang yang suka berbuat dosa dan kejahatan serta derhaka kepada Allah subhanahu wa ta'ala.
Dalam hal ini, Allah subhanahu wa ta'ala berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka.”
Yang dimaksudkan dengan fasik, Syeikh Raghib al-Asfahani mendefinisikan sebagai keluar daripada landasan syariat atau agama. Istilah fasik digunakan khusus kepada orang yang diperintahkan dengan hukum Allah subhanahu wa ta'ala namun mereka menolak untuk mentaatinya dan seterusnya mengingkari sama ada sebahagian mahupun keseluruhan hukum itu.
Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.
Firman Allah subhanahu wa ta'ala maksudnya : "Dalam al-Quran terdapat celaan yang amat keras terhadap mereka yang tidak menerapkan hukum berdasarkan hukum yang diturunkan oleh Allah subhanahu wa taala. dalam ayat ke 47 surah al-Maidah pula mereka dicela sebagai orang fasik.
Memang benar, terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak menerapkan hukum selari dengan hukum Allah subhanahu wa taala. Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)
Ayat tersebut, meskipun diturunkan berkenaan kaum Yahudi dan Nasrani, namun tidak terhad ke atas mereka semata-mata kerana ungkapan ayat tersebut bersifat umum. Perkataan ‘man’ menunjukkan bahawa ia makna umum, dan tidak dikhususkan kepada kelompok tertentu. Sedangkan dalam kaedah yang rajih ada dinyatakan:
الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
"Berlakunya hukum dilihat dari keumuman lafaz, bukan pengkhususan sebab."
Bertolak daripada sini, dapat disimpulkan bahawa sifat fasik ini pada hakikatnya adalah sifat lupa diri itu sendiri. Ia berdasarkan kaedah berikut iaitu apabila seseorang manusia lupa diri, maka secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya. Serentak dengan sifat lupa kepada Tuhannya menguasai dirinya, maka dia sudah pastinya akan berani melawan dan menentang segala hukum Allah.
Kesannya, tercetuslah kezaliman, berlakulah kerosakan dan tersebarlah kekacauan di seluruh pelosok muka bumi ini. Ringkasnya di sini dapatlah disimpulkan betapa sifat fasik itu begitu sinonim dan signifikan kepada kerosakan dan kezaliman itu sendiri.
Mungkin timbul pula persoalan mengapa dan bagaimana sifat lupa diri ini boleh wujud dalam diri seseorang manusia. Sebenarnya ada beberapa punca utama yang boleh menyebabkan seseorang lupa diri dalam kehidupannya.
Pertama : Apabila seseorang itu lupa kepada Allah yang selayaknya disembah, dipuji dan dipuja, dipanjatkan doa dan diminta segala pertolongan. Allah subhanahu wa ta'ala jugalah yang menurunkan al-Quran sebagai kitab hidayah dan pedoman kepada umat manusia. Namun, manusia sering ingkar dan angkuh, lalu membelakangkan ajaran al-Quran.
Ketika itu, dia lupa kepada Tuhannya dan mula menempah saat-saat kehancurannya. Hatinya sudah mula menjadi semakin keras dan berkarat dengan timbunan dosa dan tertutup rapat daripada menerima cahaya kebenaran dan seruan taubat ke jalan yang benar.
Oleh itu, dia semakin berani melakukan amalan kemaksiatan dan kedurhakaan kepada Allah sehingga seluruh detik kehidupannya sarat dengan kegiatan menyalahi syariat . Di samping itu juga, mengikut bisikan iblis dan terpengaruh dengan ajakannya menyempang daripada landasan yang lurus. Akhirnya, dia termasuk ke dalam golongan penghuni neraka yang disediakan azab yang tiada terperi.
Orang fasik akan berkekalan dengan melakukan dosa-dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, minum arak, berjudi, berzina.
Kedua : Manusia lupa dirinya ialah lupa akan asal usulnya sebagai hamba dan makhluk Allah subhanahu wa ta'ala. Kisah keangkuhan iblis menjadi bukti nyata hingga menyebabkan iblis lupa diri lalu enggan tunduk patuh kepada perintah Allah subhanahu wa ta'ala agar sujud kepada Nabi Adam. Iblis menganggap bahawa penciptaan dirinya daripada api lebih baik daripada penciptaan Nabi Adam daripada tanah sehingga dia lupa asal-usul dirinya juga adalah hamba dan makhluk Allah. Apabila manusia sudah melupakan dirinya sendiri daripada mana dia datang?, Apa tujuan dia dihidupkan? dan Kemana arah yang akan ditujunya selepas kematian?
Siapakan golongan yang termasuk dikalangan orang-orang fasik?
1. Seorang pemimpin tidak mahu melaksanakan hukum-hukum Allah subhanahu wa ta'ala walaupun dia berkemampuan dan berkuasa untuk melaksanakannya. (jika dia masih percaya hukum-hukum Allah subhanahu wa ta'ala adalah yang paling baik tetapi tidak mahu melaksanakannya dia jadi fasik tetapi jika dia yakin bahawa hukum-hukum Allah subhanahu wa ta'ala tidak sesuai dilaksanakan dan mempertikaikannya maka dia jatuh murtad)
Firman Allah subhanahu wa ta'ala maksudnya : “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)
2. Suka melakukan dosa-dosa besar dan maksiat seperti derhaka kepada kedua ibu bapa, berzina, minum arak. berjudi, melakukan sihir dan membunuh manusia tanpa hak, derhaka (nusyuz) isteri kepada suami dan tidak menutup aurat.
3. Tidak melakukan kewajipan kepada Allah subhanahu wa ta'ala seperti meninggalkan solat, meninggalkan puasa Ramadan, tidak mahu membayar zakat dan tidak mahu mengerjakan haji (walaupun berkemampuan)
4. Suka mengambil harta secara haram seperti mencuri, mengambil rasuah, makan riba dan makan harta anak yatim dan merampas hak orang lain secara penipuan.
5. Suka mengumpat, membuat fitnah, menuduh wanita atau lelaki yang baik berzina dengan tidak membawa 4 saksi, mengadu domba, suka bersumpah palsu dan menjadi saksi palsu dimahkamah.
Firman Allah subhanahu wa ta'ala maksudnya: "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lama nya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik, kecuali orang yang bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah an-Nuur ayat 4-5).
6. Berkekalan dengan melakukan dosa-dosa kecil . Dosa kecil yang menjadi besar jika dilakukan terus menerus. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.
Allah subhanahu wa ta'ala berfirman, maksudnya: "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui." (Surah Ali Imran ayat 135)
Mengenai tindakan sesetengah di antara kita yang menganggap remeh dosa, Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda maksudnya: "Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dimuliakan,
Apabila seseorang mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat orang fasik maka apakah pandangan Islam terhadap mereka ?
Dalam Islam orang fasik tidak dibenarkan melaksanakan beberapa tugas seperti dibawah :
1. Tidak layak menjadi khalifah atau pemimpin negara.
(Orang mukmin perlu pastikan pemimpin yang ingin dipilih tidak mempunyai ciri-ciri orang fasik)
2. Tidak layak menjadi mufti, hakim, qadi atau juru nikah.
3. Tidak layak menjadi saksi dalam hukum hudud, saksi nikah dan saksi perjanjian muamalah dalam Islam.
4. Tidak layak menjadi wali nikah (qadi /juru nikah perlu mencari wali lain yang bersesuaian menggantikan wali yang fasik)
5. Tidak layak menjadi imam solat berjemaah
Apakah kedudukan orang fasik di hari akhirat?
Sekiranya seseorang mempunyai ciri-ciri orang fasik dan dia tidak bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta'ala dan tidak minta maaf sesama manusia di atas perbuatan zalim dan kejahatannya sesama manusia ketika di dunia maka dia akan dimasukkan kedalam neraka Jahanam. Neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Firman Allah subhanahu wa ta'ala maksudnya : "Dan adapun orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka adalah neraka." (Surah as-Sajdah ayat 20)
Jika terdapat pada diri kita ciri-ciri orang fasik maka janganlah bertangguh-tangguh lagi teruskanlah bertaubat meminta ampun kepada Allah subhanahu wa ta'ala semoga Allah subhanahu wa ta'ala mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.
Daripada Anas bin Malik r.a katanya : "Aku mendengar Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Allah telah berfirman: 'Wahai anak Adam! Sesungguhnya sebagaimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.'
'Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.'
'Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi. Kemudian kamu menemui Aku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyengutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.'
(Hadis Riwayat Tarmizi)
by Ustadz Abu Basyer